Wednesday, December 2, 2015

Hujan emas dan batu


Sessi persekolahan di Malaysia akan bermula lebih kurang sebulan dari sekarang. Saya baru dpt notification tentang senarai harga buku untuk tahun 1 hingga enam. Secara purata untuk seorang anak ibubapa perlu keluarkan lebih kurang RM50 untuk buku kerja wajib dan ada beberapa lagi buku pilihan yang tidak wajib dibeli. Pengalaman saya  di Malaysia selama 2 tahun anak saya bersekolah, tidak lah membebankan kerana hanya seorang anak saya yang bersekolah pada ketika itu. Persiapan wajib yang perlu disediakan setiap kali bermula sesi tahun baru adalah baju sekolah, kasut sekolah, stokin sekolah, keperluan lain seperti kapur, tudung sekolah, beg sekolah, alat tulis, bekas pensil dan sebagainya. Untuk buku sekolah, saya dan suami belikan semua buku kerja yang diwajibkan oleh sekolah. Oh ye, baju sekolah anak saya ada 10 pasang, 5 untuk sekolah pagi dan 5 untuk sekolah petang. Saya bercadang untuk tidak membeli sebanyak itu pada awalnya tetapi masalah biasa ibubapa yang  bekerja tanpa bibik ialah masa. Waktu kerja saya dan suami flexible. Tetapi ada harinya kami perlu sampai ke pejabat seawal 8 pagi. Jadi jadual saya menggosok baju hanyalah pada hari Ahad. Saya tak akan gosok baju pada hari lain kerana ketika itu anak bongsu saya masih lagi baby. Menyusu badan. Masa bagi saya amat ketat. Suami pula selalunya ada kerja di waktu malam. Pulang selepas 10 malam. Saya perlu kerahkan anak-anak tidur seawal mungkin kerana waktu persekolahan bermula seawal 7.30pagi. Berpagi-pagi itu memang bagus. Kita dulu macam tu. Tapi argument saya adalah, saya bersekolah di kampung. Mak saya surirumah sepenuh masa. Keadaan memang tersusun. Saya tak tahu lah bagaimana kawan-kawan yang bersekolah di bandar dan mempunyai ibubapa bekerja. Dulu lain, sekarang lain. Tekanan di zaman sekarang sangat tinggi. Nilai duit semakin mengecil. Jenayah menjadi-jadi. Sekarang, ibubapa mana yang berani benarkan anak pergi ke kedai seorang diri kalau kicap tiba-tiba habis? Mungkin ada. Tapi bukan saya. Jujur saya cakap saya sangat stress uruskan anak ke sekolah setiap hari. Alhamdulillah suami banyak membantu. Saya terkilan setiap kali tengok anak saya balik sekolah dengan tudung yang senget. Dia bersiap sendiri di transit untuk ke sekolah sesi petang. Budak 7 tahun apa tahunya. Anak saya lah. Anak orang lain mungkin lebih berdikari dan terurus. Selalunya kelam kabut bersiap takut tertinggal bas. Kami terpaksa percaya pak cik driver bas untuk ambil dan hantar anak balik dari sekolah. Tetapi dia pun bisnes. Mengejar masa. Ramai budak yang di ambil dan hantar dari sekolah berbeza. Nasib anak saya kurang baik pada tahun pertama. Bas datang terlalu awal sebab dia perlu pusing jauh untuk hantar budak-budak lain. Kadang-kadang tak sempat makan. Selalu dimarahi pengasuh sebab lambat. Ye, mana ada orang sesabar ibu kandung, hatta bapa sendiri pun tidak. Arghh, stress pulak menaip kenangan lalu. InsyaAllah, 3 tahun lagi saya akan mengharungi perkara sama. Kali ini dengan 3 orang anak. Semoga Allah permudahkan. Semoga Malaysia di bawah kepimpinan terbaik ketika itu.

Ok, saya nak berkongsi pengalaman saya di sini pula. Umur persekolahan di sini bermula seawal 5 tahun. Maksud ada 2 orang anak yang akan bersekolah pada tahun pertama saya di sini. Permulaan agak kelam kabut kerana saya sampai pada bulan August. Sesi persekolahan baru bermula. Dan kami tak dapat banyak maklumat tentang cara-cara menguruskan anak bersekolah di sini. Kebanyakannya hanya cakap, sekolah di sini senang dan enjoy. Belum ada anak-anak yang tak suka ke sekolah. Tetapi basic nya masih perlu disediakan. Uniform sekolah, kasut sekolah, beg sekolah, lunch box. Cuma tidak banyak dan mahal seperti yang saya perlu sediakan di Malaysia dahulu. Baju sekolah adalah seluar, baju putih dan jumper. Harga untuk ketiga-tiga itu adalah lebih kurang £10. Saya beli 2 set untuk seorang anak. Maksudnya £40 untuk 2 orang anak. Kasut ada bermacam harga. Saya beli yang berharga bawah £5. Boot untuk winter saya beli di carboot atau charity shop sahaja. Boleh dapat dalam £2-5. Beg sekolah saya beli baru. Alatulis di bawa dari Malaysia. Buku tak perlu beli. Alatulis pun sebenarnya tak perlu. Sekolah sediakan semuanya. Beg sekolah kosong setiap hari. Kalau ada pun mungkin baju persalinan untuk gym class. Sesi persekolahan adalah 9am-3pm. Bezanya sekarang, suami kerja malam. Jadi tugas hantar dan ambil anak sepenuhnya diuruskan suami. 2 bulan pertama, suami agak tertekan tapi lama-kelamaan tekanan bertukar menjadi enjoyable. Berapa ramai antara kita yang dapat peluang begini dari Allah. Dapat hantar anak ke depan sekolah setiap hari. Guru-guru di sini saya nampak kurang stress dari guru kita. Tugas mereka hanya mengajar dan rekodkan perkembangan pelajar. Kerja perkeranian mungkin hanya 20%. Buku-buku sekolah yang digunakan pelajar diletakkan di rak bersebelahan kelas. Setiap kelas ada sinki! Alat bantu mengajar semua di dalam kelas. Saya sendiri enjoy berada di dalam kelas mereka. Pengetua mereka sangat friendly. Setiap pagi sebelum loceng berbunyi, dia akan berjalan-jalan sekeliling sekolah bertegur sapa dengan pelajar, bertanya khabar. Tidak ada seorang pun pelajar yang lari apabila nampak pengetua mendekati mereka. Cara ini saya rasakan sangat membantu membina konfiden pelajar.

Wah, panjangnya coretan kali ini. Sengaja saya tak gunakan bahasa pasar dan short form. Niat hendak melatih diri. :D

Namun, perlu diingat, bukan semuanya indah di sini. Hujan batu di negeri org, hujan emas di negeri sendiri.Lebih baik hujan batu. Mudah-mudahan ada pengajaran berguna dapat di bawa pulang ke tanahair nanti. InsyaAllah

Rak buku , fail dan sebagainya

senarai harga buku yang muncul di wall fb saya pagi tadi

No comments: